Call Us

Whatsapp/SMS : +6 012 3012 002 or +6 03 7726 7917

Opening Hours

Mon -Fri: 9:00 AM – 6:00 PM Sat: 9:00 AM – 1:00 PM Sunday & Public Holidays: Closed

Book Appointment

Your perfect smile is a click away!

MAJALAHWM.COM : Datin Dr. Kamsiah G. Haider Pakar Pergigian Kosmetik & Digital Smile Design

I was created to create a beautiful smile.”

Saya menemui seorang doktor pergigian kosmetik yang tidak boleh duduk diam, beliau tidak berhenti belajar dan mempelajari teknik-teknik terbaru di dalam industri pergigian negara ini. Begitu ceritanya kerana kita tidak boleh sekadar membenamkan kepala di dalam pasir, sebaliknya terus mengikut arus, memperkasa di dalam bidang ini supaya dapat terus bertahan, berkembang and the thrill is, to finally… mengetuai industri.

Datin Dr. Kamsiah Gulam Haider – tempoh hari jam sembilan pagi saya sudah di ruang menunggu di kliniknya, Dr Kamsiah Dental Specialist Clinic di TTDI untuk sesi temubual. Di hadapan saya bersebelahan pintu masuk  bergantungan sijil-sijil Dr. Kamsiah atau nama glamornya Dr. Kam yang merupakan penghargaan untuknya setelah menghadiri pelbagai kursus sepanjang karier pergigian beliau, antara yang terkini DSD (Digital Smile Design) bersama Dr. Christian Coachman dan Industri Implan Pergigian daripada Nobel Biocare Global Symposium hampir setiap tahun sejak menceburi bidang ini di awal karier pergigian beliau.

Selama 30 tahun pengalaman dalam bidang pergigian prostodontik dan implan cukup menegaskan kewibawaan Dr. Kamsiah, tetapi perlu ditambahkan lagi; selain bergelar Master dan Instruktor Digital Smile Design, “Saya berpeluang mempelajari pelbagai bidang selama berkhidmat dan sangat bersyukur memperolehi pengetahuan dan pengalaman untuk mengendalikan kes-kes yang kompleks dalam pergigian kosmetik pergigian.” Pembina semula kaviti mulut, memulihkan ia dengan pelbagai cara termasuk secara rawatan implan pergigian di klinik beliau. Beliau juga memiliki blog pergigian berdasarkan kes-kes yang dirawat sendiri. Banyak artikel-artikel menarik yang terpampang dalam blog miliknya drkamsiah.com

Datin Dr. Kamsiah juga ahli Persatuan Antarabangsa untuk Orthodontist (iAOi), menjadi Diplomat Prosthodontik dan Implantologi Amerika (ICOI) sejak 1997. Dr. Kamsiah boleh membuat total reconstruction di mana mereka yang mengalami kerosakan gigi yang tidak boleh diselamatkan lagi (failed dentition) dipulihkan dalam hari yang sama. Ini boleh dilakukan di negara ini dengan bantuan pergigian digital – suatu yang beliau minati sejak memulakan klinik swasta sejak 22 tahun lalu di lokasi yang sama.

Jika anda ada saudara mara atau kenalan yang bekerja sebagai doktor gigi, tanya mereka siapa Datin Dr. Kamsiah. Pasti ramai mengenalinya kerana Datin Dr. Kamsiah bukan sahaja dikenali di negara kita tetapi peringat global. Tidak ramai doktor pakar pergigian kosmetik yang dikenali dan miliki reputasi terutama daripada kalangan wanita. Itu juga sebabnya mereka di dalam industri menggelarnya diva dalam pergigian kosmetik. Taip saja nama Dr. Kamsiah di Google, pasti keluar barisan kes-kes pergigian dalam bentuk video dan artikel berkaitan dirinya. Beliau juga aktif di media sosial dengan Instagram, FacebookTwitter dan Youtube di bawah nama drkamsiah.

Dr. Kam dan pembantunya membawa saya masuk ke sebuah bilik di mana mereka berkongsi himpunan kes-kes yang pernah dikendalikan sebelum ini, antaranya kes berkaitan veneer dan implan. Barisan kliennya daripada pelbagai  gaya hidup; kerabat diraja, golongan profesional hingga ke pekerja kedai runcit. Kata pekerja Dr. Kamsiah, “Dr. terima saja sesiapa yang datang, asal serius untuk mendapat rawatan. Dr. biasa bagi diskaun jika tidak mampu dan dikira perlu. Nak bayar rawatan secara ansuran pun tidak ada masalah.”

Dr. Kamsiah tiba sejurus kemudian. Lantas membawa saya ke biliknya yang luas. Di sebelah kiri biliknya terpampang skrin projektor untuk dikongsi gambar dan video kes kendaliannya pada klien, manakala di sebelah kiri pula terdapat studio mini lengkap dengan peralatan kamera dan pencahayaan yang diguna untuk mengambil gambar berkualiti tinggi.

Ikuti temubual saya bersama Dr. Kamsiah Gulam Haider

1. Doktor gigi bukan satu kerjaya asing tetapi tidak ramai yang tahu akan doktor pergigian kosmetik. Ceritakan bagaimana kerjaya ini sebenarnya?

Pengamal pergigian kosmetik adalah doktor gigi yang membuat rawatan pergigian yang bertujuan meningkatkan penampilan gigi, gusi dan senyuman.

2. Ia bukanlah dikira suatu kepakaran. Jadi apa yang membezakan doktor pergigian kosmetik sebenar dengan doktor gigi biasa?

Ya, bidang ini bukan suatu bidang kepakaran pergigian kerana semua aspek dalam pergigian dikira sebagai prosedur kosmetik. Tampalan gigi belakang pun dikira kosmetik, juga tampalan gigi hadapan berwarna gigi. Semua aspek pergigian perlu dibuat sebaik mungkin seperti gigi asal kerana inilah prosedur kosmetik pergigian. Graduan pergigian dilatih untuk membuat rawatan pergigian sebaik mungkin. Ramai di kalangan doktor pergigian memilih untuk menjalani latihan tambahan dalam bidang ini dengan menghadiri kuliah dan bengkel. Ini mungkin mengambil masa beberapa jam sehinggalah beberapa hari mengikut modul tertentu yang selalunya ditaja oleh pembekal bahan pergigian. Oleh kerana pergigian kosmetik bukan suatu pengkhususan, doktor-doktor pergigian selalunya diberi sijil kehadiran untuk kursus yang dihadiri. Walau bagaimanapun ini bukanlah kelayakan kepakaran sepertimana kepakaran di bidang ortodontik atau prostodontik.

3. Apa prosedur biasa yang termasuk dalam kosmetik pergigian?

Mana-mana rawatan pergigian yang melibatkan pemutihan gigi iaitu secara pelunturan kimia, tampalan berwarna gigi, veneer pergigian, mengubah bentuk gigi (diasah atau dibentuk), ortodontik atau mengganti gigi yang tiada atau telah dicabut dengan gigi palsu, jambatan pergigian atau implan pergigian.

4. Apakah jenis rawatan pergigian kosmetik yang biasa Dr. Kamsiah lakukan di klinik?

Saya melakukan pelbagai jenis rawatan terutama prostodontik, implan, ortodontik dan prosedur-prosedur untuk melengkapi rawatan yang saya mulakan. Rawatan ortodontik saya perlu belajar kerana kadang-kadang perlu menganjak kedudukan gigi. Kadangkala cuma setengah mm (milimeter) atau satu mm saja untuk mencantikkan senyuman. Dengan pengetahuan yang kita miliki dan di bawah satu bumbung dapat meminimakan proses rawatan klien (pesakit). Asalnya saya belajar ortodontik kerana anak lelaki saya sewaktu berusia 12 tahun perlu rawatan ini kerana jongang dan gigi berlapis-lapis. Dia tidak mahu doktor lain yang melakukan, jadi saya terpaksa belajar bidang ini.

5. Adakah servis yang ditawarkan untuk pelanggan yang berduit sahaja?

Jika ini kriteria rawatan yang digunakan di klinik saya, tidak mungkin saya mampu kekal berada di lokasi yang sama selama 22 tahun. Klien saya terdiri daripada mereka yang serius mahu membaik pulih kesihatan gigi dan biasanya saya menjadi pilihan terakhir mereka setelah ‘shopping’ di klinik-klinik lain. Mereka mungkin pasti apa yang Dr. Kamsiah boleh dan tidak boleh buat dan sudah survey harga pasaran. Jadi klien yang datang memang serius mahu lakukan rawatan.

6. Adakah Dr. Kamsiah turut menawarkan servis yang sesuai untuk golongan berpendapatan rendah?

Rawatan pergigian tidak memilih darjat. Mereka yang memerlukan akan cuba mengumpul dana. Ada yang menggunakan wang simpanan KWSP dan juga boleh membayar menggunakan kad kredit  untuk menjalani prosedur yang memerlukan peruntukan yang besar. Rawatan kosmetik tidak semestinya mahal. Ia bergantung kepada bahan, teknologi dan juruteknik pergigian. Ia bukan bayaran untuk doktor pergigian sahaja tetapi melibatkan beberapa pihak seperti yang saya sebutkan.

7. Kongsikan penemuan menarik yang Dr. Kamsiah temui dalam beberapa tahun kebelakangan ini?

Pembelajaran mengenai Digital Smile Design pada 2015, seolah-olah saya menjumpai puzzle yang hilang selama ini. Disebabkan kesungguhan saya di dalam bidang ini dan juga merekod kes-kes, saya menjadi Master pertama dari Malaysia dan Instuktor pertama di Asia Tenggara dalam bidang ini.

8. Boleh terangkan lebih lanjut tentang Digital Smile Design?

DSD (Digital Smile Design) atau reka bentuk senyuman digital adalah perisian maklumat yang membolehkan doktor pergigian berkomunikasi dengan klien dan juruteknik untuk merealisasikan sesuatu projek pemulihan senyuman dan gigi, tanpa curiga mengenai nilai estetik dan fungsi bagi setiap klien. Ini dicapai dengan melalui diagnosis dengan menyediakan blue print (seperti mana arkitek membuat reka bentuk bangunan) dan dikongsi dengan klien melalui test drive iaitu klien dapat melihat gigi yang bakal diubah sebelum rawatan sebenar dilakukan. Jika pada peringkat ini klien bersetuju, kita teruskan. Jika tidak, berhenti setakat ini atau terus edit bentuk gigi sehingga klien berpuas hati. Untuk mendapatkan mutu rawatan klinikal adalah lebih baik melakukan rawatan menerusi teknologi digital. Mendapatkan persetujuan klien dalam melakukan rawatan DSD secara tidak langsung menjadikan mereka yang memerlukan rawatan dan doktor kosmetik gigi sebagai perancang bersama dengan berkongsi objektif, keinginan dan harapan mereka dengan pasukan doktor pergigiannya. Interaksi antara klien dan doktor bertambah baik dengan visual daripada gambar dan video yang diambil sebelum rawatan.

Pengalaman doktor pergigian yang mengamalkan konsep DSD ini amat luar biasa. Setelah keperluan teknikal pergigian yang digabungkan dengan kemahuan, keinginan dan keperluan emosional klien, hasil yang yang diinginkan lebih mudah tercapai. Hasil rawatan ini, klien akan menikmati senyuman yang lebih cantik dan menyakinkan.

9. Boleh kongsikan bagaimana klien mencari Dr. Kamsiah?

Antaranya melalui media sosial atau melalui mereka yang sudah membuat rawatan. Salah seorang klien saya ternampak kes-kes yang saya muat naik dalam Instagram. Katanya sebelum ini doktor-doktor yang dikunjungi beritahu giginya sudah tidak ada harapan untuk dibaik pulih. Elok cabut saja. Lantaran dia datang pada saya, saya pun berkongsi pengalaman klien-klien yang lain yang pernah saya kendalikan melalui gambar-gambar sebelum dan selepas rawatan. Kemudian saya ambil gambar muka dan gigi beliau. Ini yang kita panggil sebagai rawatan Digital Smile Design. Bila pesakit datang kita ambil gambar keseluruhan wajah untuk lakukan diagnosis. Apa yang saya lakukan, saya buat mock up untuk dia. Kemudian secara digital saya tingkatkan guna aplikasi photoshop atau Keynote. Kita bagi klien keyakinan yang kita boleh uruskan masalahnya secara jujur. Klien saya yang ini berkerja sebagai pembantu di kedai runcit saja, tetapi yakin untuk membuat rawatan dengan saya.

10. Saya terbaca di internet, Dr. Kamsiah dianggap sebagai diva dalam industri pergigian. Pendapat Dr. akan hal ini?

Saya rasa tidak ada keperluan untuk dianggap ‘diva’ dalam bidang ini. Lagipun saya percaya ramai pesakit dan orang dalam industri yang mencari saya kerana keseriusan saya bekerja. Saya berkongsi dan saya push kes-kes saya sendiri. Informasi yang saya muat naik dalam akaun media sosial seperti blog milik saya kesemuanya merujuk kepada kes-kes yang telah saya kendalikan. Saya tidak gunakan kes-kes yang bukan dilakukan oleh doktor-doktor pergigian lain, atau menggunakan gambar-gambar selebriti.

11. Adakah Dr. Kamsiah bersetuju dengan gelaran itu?

Saya pun tidak tahu dan tidak boleh beri komen. Kebanyakan masa saya digunakan untuk merawat pesakit dan bukan berangan-rangan kosong. Mungkin gelaran diberi kerana carian nama saya di internet (SEO) tinggi kerana saya ada blog dan saya kerap bercakap mengenai masalah pergigian dalam laman media sosial saya. Saya juga ada klien daripada kalangan pelajar dan doktor pergigian. Kata mereka, sewaktu di luar negara, doktor-doktor pergigian di sana turut mengenali Dr. Kamsiah. Ini adalah kerana jaringan media sosial di mana saya sering berkongsi kes-kes yang saya kendalikan. Kalau saya pergi seminar pun orang tidak kenal saya. Hanya nama saja mereka tahu. Ramai di kalangan pelajar pergigian dari Malaysia dan luar negara yang mengikuti saya di media sosial. Saya selesa memuat naik kes-kes saya di situ dengan kebenaran bertulis klien saya. Tidak ramai yang membaca jurnal akedemik selepas berkerja. Jurnal ilmiah selalunya dibaca di kalangan ahli akademik. Jika masukkan dalam media sosial sesiapa pun boleh baca.

12. Apa risiko yang klien boleh alami jika menjalani rawatan pergigian kosmetik?

Salah satunya gigi boleh mati jika banyak bergerak. Kita gerakkan gigi macam jigsaw puzzle. Tetapi kalau gigi mati kita boleh lakukan rawatan akar. Mungkin juga saya dipanggil diva kerana saya biasa lakukan kes jenis kritikal. Pernah ada kes yang mana doktor di sini juga di luar negara cakap tidak boleh dirawat, tetapi saya berjaya lakukan. Saya tidak pernah lihat orang lain buat seperti apa yang saya buat; saya susun semula kedudukan gigi. Saya pasang braces dalam mulut pesakit untuk susun gigi, tarik gigi ke lelangit dan tolak gigi taring contohnya.

13. Bagaimana kerjaya sebagai doktor pergigian kosmetik di Malaysia?

Persaingan antara doktor-doktor  dan klinik klinik sangat hebat. Setiap hari, pesakit datang dengan jenis keperluan yang berlainan. Kita perlu tahu memperkasakan diri dengan ilmu.

14. Adakah terdapat sebarang sekatan bagi doktor pergigian kosmetik di Malaysia?

Sama seperti bidang profesional yang lain, kami juga tertakluk kepada Akta Pergigian.

15. Dr. Kamsiah bukan sekadar belajar di satu universiti, menjalani beberapa kursus dan kemudian menjadi doktor pergigian kosmetik, bukan?  Sebaliknya Dr. menjalani latihan di beberapa negara, dari Spain ke Portugal, Australia, Anaheim dan Taiwan antaranya. Kenapa begitu jauh perjalanan menimba ilmu?

Kerana ilmu yang saya cari mungkin belum sampai ke sini, jadi terpaksalah terus belajar. Prinsip saya ialah learn, unlearn and relearn. Jika di sini saya tiada rakan yang boleh berkongsi maklumat atau kepakaran, maka ada keperluan untuk saya  ke luar negara di lokasi di mana guru atau mahaguru yang pakar itu berada. Dan mereka ini menjadi mentor saya dalam bidang pergigian kosmetik seperti Dr. Christian Coachman, Palo Malo dan Patrick Henry. Sehingga kini saya masih merujuk pada mereka untuk kes-kes rumit. Saya juga bekerjasama dengan sebuah makmal digital di Madrid untuk kes-kes yang rumit.

16. Bagaimana Dr. Kamsiah mengenali mereka?

Ada yang teman-teman saya perkenalkan. Ada yang saya kenali sewaktu menghadiri seminar di luar negara. Saya belajar mengendali kes yang rumit dengan mereka secara one on one. Mereka adalah pemangkin di dalam teknologi dan di bidang kosmetik pergigian. Jika mahu terus dalam kerjaya ini, the best is to have a mentor.

17. Selain Dr. Kamsiah Dental Specialist Clinic, apa lagi tugas Dr. Adakah menawarkan kursus kepada pelajar pergigian di Malaysia atau luar negara?

Sebelum ini saya pernah mengajar sepenuh masa di Universiti Malaya dan profesor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa tetapi kini saya hanya melakukan jika diundang sahaja. Sekarang saya mengajar sambilan di klinik saya atau di bengkel-bengkel pergigian. Saya anjurkan dalam kumpulan yang kecil sahaja. Lebih selesa begini kerana saya perlukan banyak masa untuk persediaan dan penyelidikan. Di samping itu saya sentiasa perlu mempertengahkan kes-kes baru. Saya kini lebih mengajar bidang digital dentistry dan cara menggunakan aplikasi keynote untuk DSD . Ramai lagi doktor pergigian yang buta IT. Walhal ia sangat penting kerana jika kita mahir gunakan teknologi, inilah masa yang amat seronok bagi pengamal pergigian. The future is now.

18. Laporan dalam Malaysian Digest pada 2014, Malaysia perlukan 10,000 doktor gigi menjelang 2020. Adakah kita menghampiri sasaran itu?

Rasanya kita telah pun mencapai sasaran ini. Boleh rujuk pada Kementerian Kesihatan dan Majlis Pergigian.

19. Laporan tersebut turut menyebut tentang hygienist Kita tidak miliki yang ini. Apakah lagi ia diharamkan di sini?

Ya, masalahnya kerjaya hygienist ini tidak digazetkan walaupun kita mengikut model dari New Zealand. Mungkin ini masalah politik. Kalau dibawa kes ini ke parlimen dan digazetkan post itu, pasti ada ramai hygienist di klinik pergigian di negara kita. Di negara negara maju, hygienist memainkan peranan penting untuk ‘screen’ pesakit atau klien. Sepatutnya sebelum berjumpa doktor gigi dan rawatan susulan setiap enam bulan, pesakit perlu berjumpa hygienist terlebih dahulu untuk melalui membersihkan scaling mengeluarkan karang gigi bukan dilakukan doktor pergigian.

20. Dalam tempoh 10 tahun ini apakah perubahan besar dalam industri pergigian kosmetik?

Teknologi… dan ia akan memberi impak yang besar pada bidang ini daripada segi kemudahan bahan pergigian yang lebih bermutu dan lebih tahan lama. Bahan tampalan berwarna gigi seperti komposit semakin mempunyai ciri-ciri mirip struktur semulajadi gigi. Semenjak mula buka klinik sendiri lebih kurang  22 tahun yang lalu, saya sudah menggunakan teknologi digital. Pada masa itu terhad kepada Radiologi Digital. Mungkin kini  80% rawatan kami menggunakan teknologi. Di samping itu teknologi CAD/CAM iaitu reka bentuk dan bahan dengan IT atau komputer untuk prostesis pergigian yang dibuat secara tidak langsung seperti crown, veneer, inlays, onlays, gigi jambatan dan implan pergigian mengalami perubahan yang besar dan berkesan positif pada industri ini.

21. Apakah cabaran terbesar bagi generasi doktor pergigian kosmetik akan datang?

Persaingan jadi hebat apabila nisbah doktor pergigian dan penduduk sangat besar. Ramai doktor yang mahu jadikan dentistry sebagai satu bisnes tetapi tidak memperkasakan ilmu. Memang mahal untuk ke Lisbon atau Madrid bagi menghadiri kursus tetapi kelebihan yang diperolehi amat memuaskan. Kini banyak teknik rawatan pergigian yang boleh dipelajari. Dalam bidang yang rumit seperti bidang pergigian ini, lebih baik jika seorang doktor mempunyai mentor-mentor. Kita boleh belajar daripada mereka sebaik tamat belajar hingga selepas bertahun-tahun kita bekerja. Bukan susah. Beritahu saja pada doktor, ‘kalau ada kes, boleh saya datang tengok?’ Jika bernasib baik pasti mereka membenarkan. Peranan mentor sangat penting kerana jika ada kes-kes rumit atau unik kita boleh buat bersama atau rujuk pada mereka. Saya juga ke Taiwan dan Thailand untuk belajar animasi digital. Video yang kongsi di laman Youtube dan media sosial, kebanyakan saya hasilkan sendiri.

22. Bagi seseorang yang mahu meningkatkan keyakinan atau imej mereka dengan cepat, katakanlah kerana majlis perkahwinan sudah semakin menghampiri, adakah prosedur kosmetik yang boleh dilakukan dalam satu atau dua hari?

Boleh, jika mahu putihkan gigi atau doktor gigi yang mereka kunjungi ada kemudahan merekabentuk senyuman seperti Digital Smile Design dan CAD/CAM dengan menggunakan veneer komposit atau porselin untuk memberi senyuman yang lebih menarik.

23. Boleh kongsikan rungutan nombor satu Dr. Kamsiah sebagai doktor pergigian kosmetik?

Hemm… (terdiam). Pesakit datang minta dirawat gigi tetapi takut. Selalu saya perlu jadi bidan terjun; jadi ahli psikologi untuk mententeramkan mereka supaya rasa lebih tenang.

24. Ada petua ringkas penjagaan gigi yang Dr. Kamsiah boleh kongsikan?

Jangan berus gigi dengan cuai dan tergopoh-gopoh. Perlu ambil sedikit masa untuk berus gigi secara sistematik dan terperinci. Floss atau berus di antara celah-celah gigi untuk mengeluarkan segala bentuk makanan yang terselit daripada terperangkap lebih daripada 24 jam.

25. Selebriti yang memiliki gigi yang menarik di mata Dr. Kamsiah?

Ronaldinho, bekas pemain bola sepak Brazil. Sebelum ini dia mengalami masalah gusi dan gigi tetapi selepas melalui rawatan, senyuman dia nampak begitu menarik.

 

Credit to MAJALAHWM.COM by Shaufik Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *